Skip to main content

LELAKI PALING BAHAYA [PART 5]

“TAK adil betul!” kata Hayati tak puas hati. 

“Memang tak adil pun. Kita yang penat bertahun-tahun kerja di department ni, tiba-tiba orang yang baru masuk dapat naik pangkat. Pelik bin ajaib betul,” tambah Suzana. 

“Tak ada yang peliklah. Orang zaman sekarang ni, asalkan pandai kipas orang atasan gerenti cepat naik punya. Betul tak Ayuni?” balas Junaidah. 


Senyap. 

“Ayuni!” 

“Huh?” Ayuni yang sedang lahap makan itu terkejut. Mujurlah dia tidak tercekik. 

“Kita orang tengah panas hati kau boleh makan?”

“Sorry, aku lapar sangat. Pagi tadi tak sempat nak makan. Kenapa? Apa yang buat kau orang panas hati?” tanya Ayuni sambil meratah ayam goreng KFC. 

“Pasal Dayana la.”

“Kenapa dengan dia?” tanya Ayuni sambil memikirkan sama ada dia patut beli ayam lagi atau tidak. Walaupun dah makan ayam dua ketul tapi perutnya tak puas lagi. 

“Laaa… kau ni memang tak tumpukan perhatian ke tadi? Dayana dilantik jadi Event Manager a.k.a akan jadi ketua kita!” ujar Hayati. 

“Ohhhh…” Ayuni mengangguk. 

Dia tahu tentang hal itu tapi masalahnya perutnya lagi penting daripada memikirkan hal yang tak beri faedah. Disebabkan hal itu juga dia jadi stress. Bila dia stress, dia akan makan ayam dengan banyak!

“Dia dah dilantik, nak buat macam mana lagi,” tambahnya. 

“Kau tak sakit hati ke?” 

Ya. Dia sakit hati dan kecewa. Sangat-sangat kecewa. Tambahan lagi dia sudah lama bekerja di Hotel Astana itu. Sejak hotel itu bertapak di bangunan kedai dua tingkat sehinggalah kini berkembang dan memiliki bangunan dan kawasan yang luas di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur. 

Ayuni merupakan pekerja paling senior di situ. Dia mula bekerja selepas tamat Tingkatan 4. Dia bekerja untuk memenuhi masa lapang dan juga untuk mencari duit bagi membayar yuran SPM. Mujurlah abangnya memang memahami perangainya yang tak boleh duduk diam. Kerja pertamanya ialah jadi tukang cuci di hotel itu. 

Pada awalnya dia hanya mahu bekerja sehingga tamat cuti sekolah tapi bosnya, Madam Lee mahu dia terus bekerja selepas waktu sekolah. Memandangkan Ayuni memang memerlukan duit pada waktu itu, dia pun terus terima tawaran bosnya. 

Sejak itu, bermacam-macam kerja yang dia lakukan dan dia juga menyaksikan hotel itu berkembang sehingga memiliki bangunan sendiri. Daripada hanya ada 4 orang pekerja, sekarang hotel itu ada beratus orang pekerja. Suasana kerja pun dah tak semeriah dulu. 

Dulu, walaupun pekerjanya boleh dikira tapi suasana bekerja sangat meriah tapi sekarang, lebih banyak politik. Sampaikan nak naik gaji pun payah sebab ada dua tiga orang atasan yang hanya memilih orang tertentu terutamanya saudara mara yang bekerja di hotel itu. Macam Dayana, perempuan yang berjaya merampas Rasydan. 

Dengar kata, kononnya Dayana dapat kerja ini sebab ada mak ciknya bekerja di HR Department. Bila orang HR tu, memang sah-sahlah senang sikit nak dapat kerja apatah lagi dapat kenaikan gaji dan pangkat. Kalau ikutkan hati memang dia dah tak ada hati nak kerja di situ. Tambah lagi bila dia sudah putus dengan Rasydan. 

“Aku kesiankan Madam Lee…” ujar Ayuni sambil mengeluh panjang. 

“Kau sayangkan Madam Lee tapi Madam Lee tak sayangkan kau. Kalau tak dah lama dia naikkan pangkat kau.”

“Dia memang dah lama nak naikkan pangkat aku. Jawatan Rasydan tu dulu… sepatutnya dia nak bagi aku tapi aku tolak.”

“What???” masing-masing terkejut. 

“Okey, jangan marah aku. Aku tahu aku dah buat silap…”

“Yup! Ini silap besar! Macam mana kau boleh tolak jawatan tu dan bagi kat Rasydan. Jangan kata kau sayang Rasydan sampai macam tu.”

“Mmm… masa tu aku bodoh dan tak berfikir panjang. Sekarang nak menyesal pun tak guna.”

“Betul. Sekarang tak guna menyesal. Tapi masalahnya, kenapa Dayana pula boleh naik pangkat? Tak faham betul aku dengan pengurusan hotel ni.”

“Hebat sungguh Dayana tu. Mula-mula masuk nampak alim. Malu-malu kucing. Baik orangnya. Cakap pun perlahan dan sopan je. Tapi tak sangka dalam diam dia goda Rasydan. Dah tahu Rasydan tu tunang orang tapi masih nak goda! Lepas dapat rampas Rasydan daripada Ayuni, mula berani tunjuk taring. Kemudian rampas pula jawatan Event Manager. Tak sangka sungguh…” ujar Junaidah. 

“Dia memang kaki perampas! Rasydan pun satu hal. Dengan senang je boleh tergoda,” tambah Suzana geram. 

“Mungkin sebab aku tak pandai jaga Rasydan kut...”

“Kau menyesal?”

“Menyesal?” Ayuni tergelak. “Aku lagi berasa bangga sebab aku yang putuskan pertunangan dan bukannya ditinggalkan. Cuma aku ada rasa sedikit kecewa.”

“Dengan sikap Rasydan?”

“Tak. Dengan diri aku. Kau orang bayangkan, aku mula bekerja sejak tingkatan 4 lagi. Lepas habis SPM aku tak ada masa nak ikut kawan-kawan aku pergi melancong, tenangkan fikiran. Aku terus masuk kerja. 

“Dua tahun lepas tu aku jumpa Rasydan. Masa tu Rasydan tak ada apa-apa. Rasydan baru saja tamat ijazah masa tu dan kerja dia pun sebagai penyambut tetamu. Masa tu, tak ada sesiapa pun nakkan Rasydan. Perempuan lalu sebelah pun tak lalu nak  pandang Rasydan tu. 

“Bercinta dengan dia 4 tahun, kemudian bertunang lebih kurang 3 tahun. Aku bazirkan masa lebih kurang 7 tahun dengan dia. Masa tu macam-macam terjadi. Aku nak pergi jumpa kawan-kawan sekolah pun tak bagi. Apatah lagi nak pergi melancong dengan kawan-kawan. Nak pergi Cameron Highland pun tak lepas, apatah lagi nak pergi Korea tengok Lee Min Ho tu. 

“Lepas bertunang dengan dia, aku bekerja kuat semata-mata nak kumpul duit untuk berkahwin. Akhirnya dia curang. Bila difikir balik, aku ni macam orang bodoh percayakan dia sampai aku abaikan kebahagian hidup aku sendiri. Jadi, inilah masanya untuk aku nikmati hidup bujang semula.”    

“Ceh, orang cantik macam kau sekejap je nak dapat pengganti,” ujar Junaidah tak percaya. 

“Aku suka kau puji aku cantik tapi bab dapat pengganti cepat tu... susah sikit aku nak percaya. Hidup aku ni hanya ada dua orang lelaki selama ni. Pertama, abang aku. Kedua, Lee Min Ho. Sepatutnya yang ketiga adalah Rasydan tapi dia dah kena buang. Selain daripada tu, aku tak kenal mana-mana lelaki pun.”

“Aku faham abang kau memang layak jadi yang pertama tapi aku tak faham kenapa Lee Min Ho turut terselit dalam hidup kau. Dia tak kenal kau pun!” balas Hayati. 

“Betul tu! Lagi satu, macam mana Lee Min Ho boleh dapat nombor dua tapi Rasydan dapat nombor tiga?” soal Junaidah inginkan penjelasan. 

“Jangan-jangan... kau tak pernah cintakan Rasydan dengan sepenuh hati,” balas Suzana. Mereka bertiga merenung Ayuni dengan tajam. 

“Suka hati akulah,” ujar Ayuni tanpa rasa bersalah. 

“Ayuni, lepas ni kalau ada lelaki cuba mengorat kau dan kau sukakan dia, jadikan dia nombor satu tau. Lee Min Ho tu campak tepi.”

“Ehem... sebenarnya dah ada yang ketiga.”

“Siapa?” Serentak mereka bertanya. 

“Amboi, laju je.”

“Mestilah. Siapa yang kau suka tu?” tanya Suzana. 

“Adalah...”

“Dia satu company dengan kita ke?” tanya Hayati. 

Geleng. 

“Dia kerja dekat banggunan sebelah?” tanya Junaidah. 

Geleng. 

“Habis tu siapa?” Hayati macam tak sabar lagi nak tahu.

Ayuni tersengih-sengih sambil terbayangkan Irfan. “Dia handsome tau. Sangat-sangat handsome! Lee Min Ho pun kalah!” tambah Ayuni. 

“Rasanya aku dah boleh agak...” Suzana pandangnya semacam. 

Ayuni terkejut. Suzana tahu? Macam mana dia boleh tahu pula? Rasanya tak pernah lagi dia cerita apa-apa tentang Irfan kepada sesiapa di tempat kerjanya itu. 

“Ini mesti tak lain dan tak bukan, kau cakap pasal Song Joong Ki, kan!” teka Suzana. 

Ayuni terkejut. Apa hal pulak nama Song Joong Ki naik ni? Cerita Song Joong Ki yang meletup tu pun dia tak tengok lagi, tiba-tiba sebut nama tu. 

“Ayuni, kau ni memang tak ada life laa...” Junaidah menggeleng perlahan. 

“Bukanlah. Bukan Song Joong Ki. Kau tak tahu ke si Suzana ni memang minat gila dekat SJK tu. Drama dia yang meletup tu pun aku tak tengok lagi tau. Aku cakap pasal orang lain.”

“Habis tu siapa? Park Bo Gum? Lee Jong Suk? Ji Chong Wok? Lee Joon Gi?” soal Suzana sambil ketawa. 

“Apa ni... tak nak kawan korang!” rajuk Ayuni dan kawan-kawannya terus ketawa. 

Tapi bagus juga mereka tak bertanya lagi. Kalau tak, jenuh nak menjawabnya nanti. Lagipun Irfan bukan kenal dia pun. Harap rumah je sebelah-sebelah tapi apa yang diangankan tak seindah realiti. 

Inikah dinamakan bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi...



****



LEBIH kurang tiga puluh minit sebelum waktu ofis tamat, Rasydan mengarahnya masuk ke pejabatnya. Sebelum itu, dia perasan Dayana keluar dari pejabat Rasydan dengan muka gembira. Senyum bukan main bahagianya. Macam pasangan yang baru berkahwin. Sempat pula Dayana jeling tajam ke arahnya. Meluat pula Ayuni tengok. 

Ayuni segera mencapai buku nota dan sebatang pen. Tanpa berfikir apa-apa dia menghampiri pintu pejabat Rasydan. Dia hanya ketuk sekali dan terus buka pintu. Rasa janggal antara dia dengan Rasydan masih ada lagi tapi Ayuni cuba bertindak secara profesional. 

“Ada apa bos?” tanya Ayuni selamba. Selama ini, sepanjang Ayuni menjadi tunang Rasydan, dia memang sudah biasa panggil Rasydan dengan gelaran bos. 

Rasydan senyap dan Ayuni mula perasan Rasydan seperti berkira-kira hendak beritahunya atau tidak. Ini tak lain dan tak bukan mesti bukan pasal kerja. Tadi, Dayana keluar dari pejabat Rasydan dengan muka berseri-seri. Sah! Pasti ada sesuatu yang buruk akan menimpanya. 

Kemudian Rasydan menghulurkan sekeping kad bisnes seseorang kepadanya. Ayuni melihat kad itu dengan teliti. Ini kad nama sebuah hotel di Langkawi. Ayuni hairan. Setahunya ini mereka tak pernah ada kerja sama dengan mana-mana hotel lain. Apatah lagi dengan hotel di Langkawi. Jauh tu!

“Awak mesti tahu hotel ni, bukan?” tanya Rasydan. 

Ayuni angguk sajalah. 

“Saya ada kawan yang bekerja di hotel ni di bahagian HR…”

Ayuni tak dapat mengawal perasaan dan tersenyum. Dengar saja Rasydan sebut pasal bahagian HR, dia sudah dapat agak. Patutlah Dayana keluar dengan muka gembira tadi. Rupa-rupanya ini rancangan mereka yang mahu dia keluar daripada hotel ini. 

Jangan harap!

“Awak kecewa saya putuskan hubungan kita ke sampai nak campak saya ke Langkawi?” soal Ayuni sambil tersenyum. Sengaja dia mahu mengetawakan Rasydan. Biar Rasydan terasa. 

“Tak. Awak dah salah faham…”

“Habis tu? Kenapa kenalkan saya dengan hotel ni?”

“Ayuni, saya cuma nak buat yang terbaik untuk awak,” balas Rasydan. 

“Untuk saya atau untuk kekasih baru awak tu?” soal Ayuni lagi. 

Kali ini Rasydan nampak terperangkap dengan soalannya. 

“Hal ni tak ada kena mengena dengan Dayana. Ini keputusan saya. Saya harap awak tak salahkan Dayana. Kesian dia. Tak pasal-pasal jadi mangsa keadaan.” Rasydan terus membela Dayana. Ayuni tak terkejut pun. 

“Kalau macam tu, boleh awak terangkan kenapa saya perlu bekerja di sana dan bukannya di sini?” 

“Awak ada potensi untuk berjaya, Ayuni. Awak patut kembangkan prestasi awak. Kalau awak berada di satu tempat, awak takkan berjaya. Saya bukan nak halau awak tapi sekurang-kurangnya awak dapat merasa bekerja di hotel lain. Lagipun hotel ni antara yang terkenal di Langkawi.”

Ayuni mengangguk saja. Dengarkan sajalah apa yang Rasydan merapu. Kembangkan prestasi konon. Kalau betul Rasydan inginkan prestasi dia berkembang, kenapa Dayana pula yang dinaikkan pangkat!

“Tapi saya tak berminat,” jawab Ayuni pendek. 

“Awak tahu tak kenapa saya tak cadangkan nama awak untuk jawatan Event Manager tu? Sebab inilah. Saya nampak awak langsung tak nak berusaha untuk diri awak. Kalau awak terus begini, saya takut awak akan berada di posisi ini sampai tua. Awak nak jadi kuli sampai tua?” Suara Rasydan agak tinggi sedikit. Mungkin bengang. 

Ayuni boleh rasa Rasydan masih simpan dendam terhadapnya sehingga bercakap sesuatu yang menyakitkan hatinya. Tapi Ayuni bukan jenis yang suka bertelagah tentang hal-hal yang tak ada faedah. 

Orang macam ni buat sakit hati saja layan. Dia hanya diam. Bila Ayuni diam, Rasydan pun macam orang mati kutu. Mungkin tak tahu nak kata apa lagi. 

“Saya nak buat yang terbaik untuk awak, Ayuni,” Rasydan dah tak tahu nak kata apa lagi agaknya. 

“Tapi saya tetap tak berminat.” Ayuni jawab jawapan yang sama. 

Kalau dia terima cadangan itu, maknanya dia kalah dan mereka akan menang. Dia dapat bayangkan betapa gembiranya Dayana kalau dia letak jawatan dan pergi bekerja di hotel lain yang jauh dari Kuala Lumpur. 

Kemudian Rasydan membuka laci mejanya dan menghulurkan sehelai kertas kepada Ayuni. Ayuni terkejut. Cek? Dan dia lihat jumlahnya. 

RM10 000! 

Wah, ini sudah lebih. Main duit-duit pula…

Walaupun Ayuni terkejut dengan tindakan itu tapi dia masih berlagak tenang. Terasa macam berada dalam drama Melayu pula. Bila dah tak ada cara lain nak singkirkan orang, heroin pun menerima cek. Tapi heroin dalam drama terima berjumlah ribu-ribu. Yang dia terima ini hanya setakat 10k saja…

“Cek apa ni?” tanya Ayuni sengaja buat bodoh.

“Saya cuma nak selesaikan secara baik tapi awak memang degil dan selalu mencabar kesabaran saya,” kata Rasydan yang mula tunjukkan taringnya.

Ayuni tersenyum. Nak saja dia jawab ‘terima kasih’. Tapi dia diam. Saja nak tengok, tahap mana kebodohan Rasydan. Sudah dewasa pun perangai macam budak-budak. Baru putus tunang, dah nak campak bekas tunang ke pulau. Agaknya kalau bercerai, entah mana pula mahu dihantarnya. Mungkin ke planet lain kut...

“Saya buat begini bukan sebab ada orang paksa saya...”

“Saya tak cakap pun ada orang paksa awak,” cepat-cepat Ayuni mencelah. Terus berubah reaksi Rasydan. Kan dah kena sebijik! Memang sahlah Rasydan dipaksa oleh seseorang supaya memujuknya untuk letak jawatan. 

Ciskek sungguh orang tu!

“Saya minta maaf,” ujar Rasydan yang senyap seketika tadi. 

Terkejut pula Ayuni. Entah apa pula muslihat Rasydan kali ini. Tadi reaksinya macam marah tapi kini nampak rasa bersalah pula. Yang pasti dia takkan percaya dengan kata-kata Rasydan lagi. 

“Jangan risau. Awak tak ada apa yang perlu saya maafkan,” jawab Ayuni lancar bersuara. 

“Saya tahu awak tuduh saya curang. Saya tahu saya salah. Saya patut beritahu awak tentang hubungan saya dengan Dayana sejak awal lagi tapi saya tak sanggup nak beritahu memandangkan saya masih ambil berat terhadap awak. Kalau boleh saya tak nak awak bersedih.”

“Saya tak sedih pun. Malah masa saya putuskan hubungan, saya lagi rasa bangga. Saya langsung tak menangis. Esoknya saya boleh pergi shopping lagi,” jawab Ayuni. 

“Habis tu kenapa awak ambil cuti seminggu?”

“Sebab saya sengaja nak buat orang rasa simpati pada saya. Awak tak sedar ke, masa tu juga Dayana dah kecoh tentang hubungan awak dengannya. Kebanyakan pekerja hotel ni tahu awak curang dan bercakap buruk tentang awak berdua. Dalam masa yang sama saya dapat simpati daripada mereka. Mereka semua ingat saya kecewa dan sedih. Padahal saya seronok bercuti di rumah. Sweet kan,” jawab Ayuni sambil tersenyum.

Rasydan terdiam tak terkata-kata. Waktu itu Ayuni mengambil cek di atas meja. 

“Saya ingat lagi dulu semasa nak bertunang. Kita berbincang tentang hantaran kita. Waktu tu saya diberitahu abang wang hantaran ialah RM5 ribu. Tapi awak beritahu hanya mampu beri RM3 ribu memandangkan awak anak tunggal dan perlu jaga mak awak yang sakit. Sampai bergaduh saya cuba pujuk abang saya. Saya tahu awak tak mampu. Tapi baru-baru ni saya sedar, awak bukan tak mampu tapi awak memang tak pernah nak kahwin dengan saya,” ujar Ayuni. 

“Awak nak tahu kenapa saya berat hati nak kahwin dengan awak?” balas Rasydan. 

Ayuni hanya menunggu Rasydan buka mulut. Dalam masa yang sama dia dapat rasakan Rasydan akan memulakan serangan balas. Dia perlu bersedia dengan perisai. 

“Sebab saya tak pernah rasa awak ni perempuan. Cara awak, gaya awak memang sebiji macam lelaki. Saya juga benci bila awak cuba yakinkan saya yang awak boleh kerja-kerja lelaki. Lebih-lebih lagi bila awak berlagak boleh tukar tayar kereta.”

Ayuni tergelak. Dia tak dapat kawal diri bila Rasydan ungkit hal itu. 

“Awak boleh gelakkan saya. Saya mengaku saya tak reti tukar tayar kereta dan langsung tak reti baiki kereta. Tapi pernah tak awak fikir tentang perasaan saya? Awak tahu tak masa awak tukar tayar kereta hari tu ada ramai yang tengok saya dengan pelik? Awak tahu tak saya malu? Macam mana saya nak hidup bersama awak kalau saya rasa malu bersama awak?” Rasydan meluahkan segala yang terbuku di hatinya. 

“Tahniah, awak dah bebas sekarang. Awak patut berterima kasih kepada saya sebab keberanian saya putuskan hubungan pertunangan kita,” kata Ayuni tersenyum puas. 

Rasydan mendengus marah. “Saya tak nak bergaduh dengan awak.”

“Saya pun,” laju Ayuni menambah. 

“Baiklah. Saya nak tanya awak sekali lagi. Awak terima tawaran saya?”

“Tak.”

“Baiklah. Tapi saya tak boleh nak jamin nasib awak di sini nanti. Saya ulang sekali lagi, saya buat ni sebab saya bimbangkan awak.”

“Terima kasih kerana bimbangkan saya. Tapi jangan bimbang sangat sebab saya pandai berdikari. Saya pun nak pesan pada awak, saya tak boleh nak jamin nasib awak dan Dayana nanti,” balas Ayuni. 

“Awak ugut saya?”

“Tak. Saya tak berani ugut awak. Oh ya, cek ni untuk saya bukan?”

“Sekarang awak nak cek tu? Awak memang betul-betul mata duitan.”

“Apa boleh buat. Ini kali pertama saya dapat cek dengan jumlah yang banyak. Saya teringan sangat nak buat sesuatu pada cek ni.”

Dengan pantas Ayuni mengoyak cek itu menjadi dua bahagian. Tergamam Rasydan dengan tindakkannya. 

“Saya dengar cek yang terkoyak dah tak laku lagi.”

“Awak nak apa sebenarnya?”

“Saya nak simpan cek ni je.”

“Sebagai kenangan yang saya pernah lukakan hati awak?” perli Rasydan. 

“Tak. Sebagai perisai. Mana tahu suatu hari nanti timbul cerita buruk tentang saya. Masa tu saya boleh tunjuk cek ni sebagai bukti awak cuba beli maruah saya tapi tak berjaya. Oh ya, Dayana tahu tentang cek ni?”

Tiba-tiba reaksi Rasydan berubah. Tak tahulah tu. Cantik!

“Jangan risau saya takkan beritahu Dayana. Saya pandai simpan rahsia. Percayakan saya,” kata Ayuni penuh yakin. 

Rasydan tak terkata-kata. Ayuni melihat jam tangannya. Sudah lebih pukul 5.00 petang. Waktu kerja dah tamat!

“Kalau tak ada apa-apa saya balik dulu bos,” ujar Ayuni segera meminta diri. Keluar saja dari pejabat Rasydan, Ayuni sengaja buat muka ketat tak puas hati. Tambah-tambah bila lalu depan pintu bilik Dayana yang terbuka luas. 

Bila sampai di mejanya, dia segera kemas mejanya, tutup komputer dan berambus secepat mungkin. Tapi sempat lagi dia menjeling tengok Dayana berlari masuk ke bilik Rasydan. 

Ayuni tersenyum puas. Entah macam manalah reaksi Dayana nanti. Nak jugak dia tengok. Tapi malas pula dia nak ambil tahu. Balik sajalah. 

Dalam masa yang sama Dayana meluru masuk ke pejabat Rasydan. Tanpa disuruh dia terus duduk di hadapan Rasydan. Wajahnya terpamer muka gembira. Tadi masa Ayuni keluar dia sempat tengok muka Ayuni nampak tak puas hati. Dia rasa rancangannya dah berjaya. Rasydan pasti berjaya pujuk Ayuni supaya letak jawatan.  

“Macam mana?” tanya Dayana teruja. 

Rasydan menggeleng. Dayana hairan. Takkan tak berjaya kut. Dia nampak muka ketat Ayuni tadi. 

“I tak ada masa nak bergurau la...” Dayana mendesak. 

“Maaf, I tak berjaya pujuk dia.”

“What?” Dayana terkejut. “Habis tu dia tetap nak terus kerja sini?”

Rasydan angguk. 

“You nak biarkan?” Dayana tak puas hati. 

“Habis tu you nak I buat apa lagi?”

“Isy you ni, kerja yang senang ni pun you tak boleh nak buat! Jangan-jangan you masih sayangkan dia!” Dayana mula merajuk. 

“Ke situ pula dia... I hanya sayangkan you seorang sekarang ni,” Rasydan cuba memujuk. 

“Kalau you sayangkan I, you pecatlah dia.”

“Itu bukan di bawah kuasa I. I bukan CEO yang boleh pecat orang sesuka hati.”

“You carilah idea. Tukar dia ke bahagian lain pun tak apa. Asalkan I tak tengok muka dia lagi. Semak!”

“Susah...”

“Susah apanya?”

“You naik pangkat pun ramai orang bercerita pasal kita, kalau I tukar Ayuni ke bahagian lain dah tentulah lagi kecoh dibuatnya. Itu pun nasib baik you ada kabel kuat dalam HR, kalau tidak you tak dapat jawatan tu.”

Dayana terdiam. 

“Lebih teruk lagi, you naik pangkat pun Madam Lee tak tahu lagi. You bernasib baik sebab dia tengah jalani rawatan di China sekarang. Itupun I terpaksa yakinkan pemangkunya, Mr Lim untuk sain surat pelantikan,” jelas Rasydan. 

Dayana mendengus marah. Dia berasa sangat terancam jikalau Ayuni terus bekerja di situ. 

Comments

Popular posts from this blog

Suamiku Workaholic [Bab 12]

Awal-awal pagi lagi aku dan suamiku sudah berangkat ke KLIA dengan menaiki teksi. Sebelum berangkat sempat lagi aku menghubungi ibu dan ayah untuk memaklumkan pemergian kami ke Langkawi. Sengaja aku beritahu mereka sebab tidak mahu mereka tiba-tiba datang terjah rumah. Walaupun mereka tak pernah buat lagi tapi aku ada perasaan yang mereka akan buat suatu hari nanti. Lagipun, walaupun mereka beria-ia sangat suruh aku berkahwin dengan Syazwan tapi mereka sebenarnya risaukan perkahwinan kami. Maklumlah aku kahwin dengan Syazwan pun secara terpaksa sebab bakal pengantin melarikan diri. Mereka pun sudah sedia maklum dengan Syazwan yang workaholic.

Suamiku Workaholic [Bab 16]

Bila aku terjaga, aku mendapati aku berada di bilik yang asing. Bukan itu saja, tangan aku dicucuk oleh saluran air yang datangnya dari sebuah beg air yang biasa aku tengok di hospital. Aku cuba kerahkan tenaga yang ada untuk bangun. Pening-pening lalat kepala aku seketika. Aku memerhati keadaan sekeliling. Aku berada di hospitalkah? Tapi kenapa katil aku macam tak nampak katil hospital? Luas pula tu, cukup untuk dua orang tidur. Di sekeliling aku pun sama. Ada sebuah almari dan di sudut lain, ada set sofa. Macam bukan di hospital tapi di hotel.

Suamiku Workaholic [Bab 1]

Ibu kata, Syazwan paling tak suka dengan orang yang lambat datang janji temu. Jadi, awal-awal lagi aku sudah datang ke tempat janji temu. Masa tu, cafe yang menjadi tempat pertemuan kami itu baru sahaja buka. Lama juga aku duduk menunggu maklumlah aku datang setengah jam lebih awal. Tepat pukul 10.00 pagi, Syazwan datang tepat pada masanya. Padanlah dia sudah jadi seorang yang berjaya dan bekerjaya. Dia datang dengan baju kot (ah, cair!). Nampak segak dan bergaya. Serius aku sudah jatuh hati. Datang-datang saja, dia terus renung aku dari atas hingga bawah. Berdetak juga jantung aku tiap kali matanya scan setiap inci tubuh aku. Macam mata Superman yang boleh tengok dalaman tubuh orang pula. Setelah dia berpuas hati, barulah dia duduk dan membuat pesanan kepada pelayan cafe itu. Kemudian, dia keluarkan tab miliknya dan senyap.