Skip to main content

LELAKI PALING BAHAYA [PART 2]

BUKA saja pintu rumah, Ayuni terperanjat besar. Nora, rakan yang sama-sama tinggal satu rumah dengannya sedang berdiri di hadapan pintu sambil bercekak pinggang. Lagak gayanya macam mak tengah marah apabila anak daranya lewat balik rumah. 

“Amboiii!” tegur Nora. 

“Kenapa?” 


“Pergi dating dengan Rasydan sampai tak ingat dunia,” kata Nora. Baru saja masuk rumah, terus dituduh yang bukan-bukan. Tapi perangai Nora yang gila-gila memang begitu.

“Tolong sikit. Tak bermakna aku tak ada dekat rumah aku pergi dating dengan Rasydan. Macamlah hidup aku hanya ada dia,” balas Ayuni. 

“Habis tu? Kalau bukan dengan Rasydan, kau pergi dating dengan siapa?” Nora terus menyoal. 

“Aku lepak rumah abang aku. Main dengan anak buah aku,” jawabnya jujur. Sama ada Nora hendak percaya atau tidak, itu masalah Nora. 

“Bosannya  hidup kau. Tapi tak apa. Nasib baik kau berkawan dengan aku. Aku tahu macam mana nak buat hidup kau lebih bermakna. Jom makan,” ajak Nora. 

“Ceh, hidup kau lagi membosankan. Kau dating dengan anak Pak Syed takkan dia tak belanja kau makan?”

“Aku makan dengan dia kena ayu-ayu sikit. Manalah boleh kenyang sangat,” jawab Nora tersengih-sengih. 

“Hipokrit punya girlfriend.”

Tiba-tiba telefon bimbit Ayuni berbunyi. Tanpa berlengah lagi Ayuni segera membuka mesej yang dia terima. Bulat mata Ayuni selepas membaca mesej itu. Banyak kali juga dia dilihat mengulangi baca mesej yang sama. Akhirnya, dia bangun! Terkejut Nora dibuatnya. 

“Kau kenapa?” Nora hairan. 

“Jom, aku teman kau pergi makan!” kata Ayuni sambil tunjuk mesej yang dia terima tadi. Kali ini Nora pula yang bulat mata selepas membaca mesej itu. 

“Restoran Abang Handsome. Diskaun 50 peratus...” 

“Jangan lepaskan peluang.”

“Jom!” Berdesup mereka berlari masuk ke bilik masing-masing untuk bersiap.


****


“MUNIRAH, sini!” Ayuni melambai-lambai ke arah seorang wanita yang baru melangkah masuk ke restoran itu. 

Lambaiannya disedari wanita yang bernama Munirah itu. Tanpa berlengah lagi dia segera menghampiri dua orang kawannya dan duduk di sebelah Ayuni. Belum duduk lagi dia sudah terkedu melihat beberapa hidangan yang masih belum terusik dan masih panas lagi. 

“Wah, ini sempena apa ni?” tanya Munirah terkejut begitu banyak hidangan yang lazat-lazat di atas meja. Macam orang Cina makan besar!

“Ayuni dapat diskaun 50 peratus!” kata Nora. 

“Patutlah...” 

Ayuni tersengih. “Orang tua-tua cakap, jangan lepaskan peluang yang ada! Eh, kau datang dengan siapa?”

“Suami aku,” jawab Munirah. 

“Habis tu? Mana dia? Kau tak ajak dia join sekali?”

“Kebetulan dia nak lepak dengan kawan-kawan dia dekat kedai mamak, tengok bola. Nasib baiklah kau orang ajak aku keluar, kalau tak, keseorangan aku kat rumah tu layan diri sendiri.”

“Tak apa. Dapat suami kaki bola lebih baik daripada dapat suami kaki perempuan.”

“Betul. Yang penting, perut kita kenyang hari ini dengan masakan Chef Irfan!”

“Kau dah ada tunang pun masih nak menggedik dengan lelaki lain,” ujar Nora kepada Ayuni. 

“Gedik dengan minat lain okey. Rasydan memang tunang aku tapi Irfan adalah idola segala idola! Dia satu-satunya tukang masak yang mampu puaskan perutkan aku. Makan hari-hari pun aku tak rasa bosan. Tambah lagi, sayur yang dia masak memang berkualiti dan nampak segar. Dulu, aku suka makan makanan barat tapi sejak aku jumpa restoran ni, dah lama aku tak sentuh western food tau,” jawab Ayuni tersengih-sengih. 

“Ceh.”

“Cakap aku tapi kau pun sama. Dah ada boyfriend pun masih nak intai lelaki lain,” balas Ayuni semula kepada Nora.

“Boyfriend belum tentu lagi jadi suami. Rileks la...” balas Nora selamba. 

“Hah... tahu tak pe. Tunang pun belum tentu lagi jadi suami. Selagi Rasydan belum jadi suami aku, aku berhak nak ke atas hidup aku. Nanti bila dah jadi isteri dia, aku dah tak boleh gedik-gedik macam ni lagi dah. Inilah masa untuk aku rasa masakan Irfan puas-puas dan tengok dia dari jauh...” Ayuni tersengih-sengih. 

“Betul!” sokong Nora. “Tapi, kenapalah dapur mereka tertutup? Langsung tak boleh tengok muka dia yang handsome tu.”

“Tulahhh!” Ayuni rasa kecewa. 

“Kau orang berdua ni, macam budak-budak. Handsome sangat ke Irfan tu?” tanya Munirah. 

“Handsome gila!” laju saja Ayuni menjawab. 

“Gila sangat handsome!” tambah Nora. 

“Antara dia dengan Lee Min Ho mana lebih handsome?” tanya Munirah. 

“Irfan 10 kali handsome daripada Lee Min Ho!” jawab Ayuni pantas. 

“Wau... apa dah jadi dengan Lee Min Ho kau? Dulu kau pernah kata tak ada siapa dapat tandingi Lee Min Ho...” Munirah seakan tak percaya. 

“Itu dulu. Sebelum aku bertentang mata dengan Irfan. Ahhh... aku ingat lagi. Waktu tu, aku rasa macam jantung aku terhenti sampai nak bernafas pun susah. Dia sangat-sangat handsome. Sampai sekarang aku tak percaya ada tukang masak yang handsome macam dia,” ujar Ayuni. Nora mengangguk setuju. 

“Patutlah aku tengok ramai pelanggan perempuan dalam restoran ni,” ujar Munirah. 

“Agak-agak dia dah ada girlfriend ke?” tanya Nora.

“Itu tak penting,” balas Ayuni.

“Kenapa?”

“Dia umpama Lee Min Ho. Orang macam kita hanya boleh jadi fangirl dia je. Jangan nak bermimpilah dapat pikat hati dia,” ujar Ayuni. “Lagipun aku tak kisah dia ada girlfriend atau tidak, yang penting dia mampu puaskan perut aku.”

“Kau ni kalau pasal makan memang nombor satu!”

“Mestilah. Apa-apa hal perut mesti kena kenyang dulu,” balas Ayuni. “Jom makan!”


****


“MACAM mana dengan hidangan tadi? Semua okey?” soal Hadi, pekerja restoran itu dengan senyuman apabila Ayuni menghampiri kaunter untuk pembayaran. 

“Semua okey. Sedap. Puas dan kenyang perut kami,” jawab Ayuni. 

“Alhamdulillah. Semua sekali selepas diskaun 50 peratus, RM50.00,” ujar Hadi. 

Ayuni segera menghulur RM50 kepada Hadi. Tersengih lebar bibirnya. Puas. Bukan saja perutnya puas tapi perasaan dia pun puas juga. Mana tidaknya, makan pelbagai hidangan yang sedap dan lazat dan dia hanya perlu bayar separuh harga. 

Kalau di kedai lain, boleh cecah RM100 untuk tiga orang makan. Kira berbaloi sangat-sangat dia jadi ahli VIP di restoran itu. 

“Ini resitnya dan ini gift daripada kami,” ujar Hadi dengan menghulurkan sebuah bekas makanan lut sinar yang berisi buah-buahan kepada Ayuni. 

“Wahh... rojak buah?” Ayuni terkejut. Rasanya baru semalam dia mengidam hendak makan rojak buah. Siap mengadu di Facebook lagi. 

“Terima kasih sangat-sangat. Saya dari semalam nak makan rojak buah.”

“Alhamdulillah. Sama-sama,” balas Hadi tersengih-sengih. 

“Err... saya balik dulu.”

“Hati-hati,” balas Hadi lagi sebelum Ayuni berlalu keluar dari restorannya itu. Selepas kelibat Ayuni hilang bersama kawan-kawannya, Hadi masuk ke bahagian dapur. Kelihatan beberapa orang pekerja di restoran itu sudah mula untuk berkemas. Hari ini restoran akan ditutup awal daripada biasa. 

“Tuan Irfan. Aku tahu kau bos tapi aku tetap tak puas hati!” kata Hadi kepada seorang lelaki yang sedang duduk memeriksa sesuatu pada telefon bimbitnya. 

“Kau memang sentiasa tak puas hati,” celah Faris yang sibuk membasuh pinggan mangkuk. 

“Kenapa dia seorang saja yang boleh dapat diskaun 50 peratus?” tambah Hadi tidak mempedulikan Faris. 

“Hah! Itu aku setuju. 50 peratus tu. Bukan 5 atau 15 peratus. Itu dah separuh harga dah tu,” sokong Faris. 

“Yang peliknya, dia seorang saja yang dapat diskaun tu,” Nabil turut mencelah sambil tersengih-sengih. Dia bagaikan sudah dapat tangkap misi sebenar Irfan. 

“Sebab dia VIP. Diskaun VIP mestilah untuk ahli VIP,” jawab Irfan masih memeriksa telefon bimbitnya. 

“Tapi kenapa dia seorang saja yang boleh jadi ahli VIP?” soal Hadi. 

“Kau tak perlu tanya soalan tu. Budak darjah satu pun dah tahu jawapannya,” balas Faris. 

“Kawan kita tu dah gila bayang dan kita patut bagi semangat pada dia,” jawab Nabil. 

“Masalahnya perempuan tu dah pakai cincin di jari manis. Hak milik orang tu. Kau jangan nak main-main...” Hadi memberi amaran. 

“Aku tak pernah main-main,” jawab Irfan serius. 

“Habis tu? Kenapa kau buat semua ni?”

“Ini umpama... sediakan payung sebelum hujan,” jawab Irfan. 

“Apa kena mengena dengan pepatah tu? Aku tak nampak pun kesesuaian pepatah tu,” tanya Faris menggaru kepala. 

“Maksudnya, mana tahukan pemilik cincin tu lelaki tak berguna. Sebelum hujan turun, dia dah sediakan payung awal-awal untuk si diaaaa...” balas Nabil. 

“Terbaik.” Faris menepuk tangan. 


“Kalau pemilik cincin tu lelaki berguna?” tanya Hadi pula. 

“Gaji kau orang semua akan dipotong sebanyak 50 peratus,” laju Irfan menjawab soalan itu. 

“Hah?”

“Apa?”

“Bawa bertenang kawan-kawan semua. Seperti yang kita ketahui Tuan Chef kita memang tak berhati perut orangnya. Tapi kita tak perlu bimbang. Biarpun hal jodoh ini di luar kuasa kita tapi kita boleh berdoa supaya Tuan Chef kita dapat kahwin perempuan yang dia suka. Mana tahukan pada masa tu, gaji kita pun naik sebanyak 50 peratus...” ujar Nabil penuh tenang. 

Dan mereka semua tersengih-sengih...

“Deal.” Irfan tersenyum. 

Comments

Popular posts from this blog

Suamiku Workaholic [Bab 12]

Awal-awal pagi lagi aku dan suamiku sudah berangkat ke KLIA dengan menaiki teksi. Sebelum berangkat sempat lagi aku menghubungi ibu dan ayah untuk memaklumkan pemergian kami ke Langkawi. Sengaja aku beritahu mereka sebab tidak mahu mereka tiba-tiba datang terjah rumah. Walaupun mereka tak pernah buat lagi tapi aku ada perasaan yang mereka akan buat suatu hari nanti. Lagipun, walaupun mereka beria-ia sangat suruh aku berkahwin dengan Syazwan tapi mereka sebenarnya risaukan perkahwinan kami. Maklumlah aku kahwin dengan Syazwan pun secara terpaksa sebab bakal pengantin melarikan diri. Mereka pun sudah sedia maklum dengan Syazwan yang workaholic.

Suamiku Workaholic [Bab 16]

Bila aku terjaga, aku mendapati aku berada di bilik yang asing. Bukan itu saja, tangan aku dicucuk oleh saluran air yang datangnya dari sebuah beg air yang biasa aku tengok di hospital. Aku cuba kerahkan tenaga yang ada untuk bangun. Pening-pening lalat kepala aku seketika. Aku memerhati keadaan sekeliling. Aku berada di hospitalkah? Tapi kenapa katil aku macam tak nampak katil hospital? Luas pula tu, cukup untuk dua orang tidur. Di sekeliling aku pun sama. Ada sebuah almari dan di sudut lain, ada set sofa. Macam bukan di hospital tapi di hotel.

Suamiku Workaholic [Bab 1]

Ibu kata, Syazwan paling tak suka dengan orang yang lambat datang janji temu. Jadi, awal-awal lagi aku sudah datang ke tempat janji temu. Masa tu, cafe yang menjadi tempat pertemuan kami itu baru sahaja buka. Lama juga aku duduk menunggu maklumlah aku datang setengah jam lebih awal. Tepat pukul 10.00 pagi, Syazwan datang tepat pada masanya. Padanlah dia sudah jadi seorang yang berjaya dan bekerjaya. Dia datang dengan baju kot (ah, cair!). Nampak segak dan bergaya. Serius aku sudah jatuh hati. Datang-datang saja, dia terus renung aku dari atas hingga bawah. Berdetak juga jantung aku tiap kali matanya scan setiap inci tubuh aku. Macam mata Superman yang boleh tengok dalaman tubuh orang pula. Setelah dia berpuas hati, barulah dia duduk dan membuat pesanan kepada pelayan cafe itu. Kemudian, dia keluarkan tab miliknya dan senyap.