Skip to main content

LELAKI PALING BAHAYA [PART 1]

AKHIRNYA Ayuni mengalah juga. Apa boleh buat. Walau apa pun dia perlu melayan perutnya dengan baik. Jika tidak, gastrik pasti akan datang menyapa. Tidak sanggup dia hendak menghadapi penyakit itu lagi. Kali terakhir kena sudah rasa separuh nyawa dia menahan. Sejak itu dia berjanji tidak akan buat perutnya merana lagi. 

Ayuni segera bersiap menyarung baju yang sesuai. Dia sudah nekad untuk makan di Sushi King memandangkan dia hanya mahu makan sayur. Mini Chicken Salad dan Edamame menjadi menu paling wajib. Mujurlah kedai Sushi King tidak jauh daripada apartmen yang dia tinggal. Malah tidak perlu tahan teksi untuk ke situ. Hanya 15 minit berjalan kaki.


Setelah pastikan pintu rumah sewanya dikunci rapat, Ayuni segera mendapatkan lif. Hari ini dia ditinggalkan sendirian. Nora, rakan serumahnya itu awal-awal pagi lagi sudah keluar dating dengan teman lelakinya. Biasanya kalau Nora ada, Nora yang akan masak makanan tengah hari. Kalau tiada, pandai-pandailah dia kena cari makan. 

Bagi Ayuni, bukan dia tidak tahu memasak. Dia tahu memasak cuma dia lebih suka makan. Lagipun dia tidak suka masak untuk dirinya sendiri makan. Jadi, bila keseorangan, dia lebih rela pergi beli di luar daripada memasak di rumah. 

Lama menunggu, akhirnya pintu lif terbuka. Ketika hendak melangkah masuk ke dalam lif, telefon bimbitnya berbunyi. Nombor yang asing muncul di skrin. Tanpa mengesyaki apa-apa, Ayuni segera menjawab panggilan itu. 

“Assalamualaikum, Cik Ayuni ke ni?” tanya satu suara lembut di hujung talian. Suara perempuan tapi Ayuni tidak dapat mengecam suara itu. Macam bukan suara yang dia pernah kenal sebelum ini. 

“Waalaikumsalam. Ya, saya. Siapa ni?” 

“Saya Puan Salbiah.” Wanita itu memperkenalkan diri. 

“Puan Salbiah?” ulang Ayuni sambil otaknya memproses maklumat. Rasanya belum pernah lagi dia dengar nama itu setakat ini. Klien baru? Mungkin juga. Memandangkan nombor telefon bimbitnya sering dihubungi oleh pelanggan yang mahu berurusan dengannya. 

“Puan Salbiah, ada apa-apa yang boleh saya bantu?” tanya Ayuni dengan penuh sopan. Walaupun hari cuti, dia tetap akan melayan klien dengan baik. 

“Tayar kereta saya pancit, awak boleh datang sini betulkan?” tanya Puan Salbiah. 

“Hah?” Ayuni terkejut. Rasanya dia tidak salah dengar tadi. Puan Salbiah itu kata tayar keretanya pancit dan mahunya betulkan? Biar betul! Dia bukan mekanik kereta! Abangnya barulah mekanik kereta!

“Cik Ayuni?” panggil Puan Salbiah apabila Ayuni berdiam diri. 

“Err... Puan Salbiah dah salah faham kut. Saya pekerja di sebuah hotel, bukan mekanik,” jawab Ayuni masih lagi bersopan. Namun dia masih berasa hairan. Setahunya belum pernah lagi orang yang tidak dikenali telefon suruh buat kerja-kerja mekanik. Ini baru pertama kali. 

Pelik dan ajaib sungguh! Dunia sudah terbalik?

“Oh... ya ke? Tapi anak saya cakap Cik Ayuni boleh tolong saya tukarkan tayar kereta,” balas Puan Salbiah kedengaran keliru. 

“Hah?” Ayuni terkejut. 

Anak? Cis! Siapalah yang dajalkan aku ni? Mentang-mentanglah aku pandai baiki kereta, korang nak ambil kesempatan ya! Mak siapalah ni? Baik korang mengaku cepat!

Sempat lagi Ayuni membebel dalam hati. Sambil itu dia cuba mengingati sesiapa yang tahu kemahiran tersembunyinya itu. Kalau tidak silap, tidak ramai yang tahu dia ada ilmu membaiki kereta. Namun antara mereka, tiada seorang pun ada ibu yang bernama Salbiah. 

Ah, kusut!

“Kalau Cik Ayuni tak boleh, tak mengapalah…” suara itu akhirnya mengalah. 

Ayuni berasa tidak sedap hati. Ini yang paling dia tidak suka. Akhirnya dia mengalah. Lagipun bukan lelaki yang minta tolongnya tukar tayar. Kalau lelaki, memang kena maki hamun dengannya di situ juga. Kerja yang senang itu pun tak reti hendak buat. Memalukan kaum lelaki sungguh!

“Puan bagi lokasi, nanti saya datang,” jawab Ayuni. Terpaksa kansel makan Sushi King! 


****


KERETA yang pada awalnya pancit satu tayar, terpaksa dibawa ke bengkel juga apabila temperature naik tiba-tiba. Nasib baiklah bengkel abangnya tidak jauh daripada lokasi tempat kejadian tapi berpeluh jugalah Ayuni memandu untuk sampai ke bengkel abangnya. 

“Kereta ni dah lama. Sudah lebih 10 tahun. Lama juga tak guna. Hari ni baru tergerak hati nak pandu kereta ni. Tak sangka jadi begini,” kata Puan Salbiah selepas diberitahu banyak yang perlu dibaiki dan ditukar memandangkan sudah lama tidak digunakan.

“Patutlah macam dah lama tak usik kereta ni,” balas Ayuni akhirnya terjawab sudah persoalan yang timbul sewaktu dia memandu kereta itu. 

“Berapa lama boleh siap?”

Ayuni memandang lelaki tinggi lampai yang juga merupakan tuan punya bengkel iaitu abangnya. Abangnya senyap seketika sambil memandang kereta Myvi di hadapannya. Mungkin terkira-kira tempoh yang perlu diambil untuk membaiki kereta itu. 

“Bagi saya masa dua hari sebab masih ada kereta yang perlu dibaiki dulu,” jawab Afiq, abang Ayuni. 

“Begitu...” Puan Salbiah mengangguk banyak kali. “Saya akan berada di Sabah dalam lima hari. Jadi, apa-apa hal awak boleh contact PA saya, Cik Husna. Saya akan maklumkan hal ini kepadanya.”

Puan Salbiah menghulurkan sekeping kad. Ayu ni segera menyambutnya Nama Cik Husna tercatit kecil di bahagian bawah. Matanya terpandang satu lagi nama yang tercatit dalam kad itu. 

DATIN SITI SALBIAH BT MOHD SALLEH
Pengerusi Impian Jati Holding Sdn. Bhd. 


Datin rupanya! Tak sangka ada lagi datin yang bawa kereta Myvi tanpa segan silu. 

“Baik Datin Salbiah,” jawab Ayuni teragak-agak.

“Panggil Puan Salbiah saja. Datin tu hanya untuk urusan rasmi,” balas Puan Salbiah merendah diri. 

Ayuni tersengih mengangguk. Barulah dia berasa lega sedikit. Biarpun selalu jumpa orang berpangkat tetapi dia masih lagi ada rasa fobia dengan golongan seperti ini. Dia masih ingat lagi kejadian dia ditampar oleh seorang wanita berpangkat datin kerana dituduh mencuri telefon bimbit. 

Rupa-rupanya telefon bimbit yang hilang itu ada pada anaknya yang sedang main game. Bila sudah tahu salah sendiri, langsung tidak mahu meminta maaf. Malah cuba cari kesalahan lain. Sejak hari itu dia cukup fobia dengan orang yang ada gelaran datin.

“Puan hendak ke mana-mana? Saya boleh hantar puan balik,” pelawa Ayuni. 

“Tak mengapa. Saya baru saja telefon menantu saya tadi. Dia akan datang sini ambil saya,” jawab Puan Salbiah. 

“Oh ya, terima kasihlah kerana sudi tolong saya. Saya pun tak faham kenapa anak saya boleh bagi nombor telefon awak. Saya ingatkan awak memang mekanik. Tapi nasib baiklah awak tahu sikit-sikit tentang kereta,” puji Puan Salbiah. 

“Saya hanya tolong yang termampu saja,” Ayuni hanya tersengih. Seronok betul bila ada orang memuji.

Ayuni baru teringat. Dia masih belum tahu lagi siapa yang berikan nombor telefonnya. Sudah banyak kali dia berfikir. Kalau semua ini berlaku secara kebetulan, mustahil namanya disebut betul. Jadi, ini bukan kebetulan. Pasti ada seseorang yang mengenalinya dan telah memberikan nombor telefonnya kepada Puan Salbiah. 

Namun, baru saja Ayuni bertanya, Puan Salbiah laju bersuara. 

“Eh, menantu saya dah datang,” kata Puan Salbiah apabila sebuah kereta Audi warna putih berhenti di tepi bengkel abangnya.

Serta-merta cermin kereta Audi itu diturunkan. Ayuni sempat lagi mencuri pandang si pemandunya. Lelaki. Boleh tahan! Kalau tak silap Puan Salbiah kata itu menantunya. Maknanya sudah jadi hak milik orang. Lupakan sajalah...

“Saya pergi dulu. Kalau ada apa-apa masalah boleh saja telefon saya atau PA saya,” pesan Puan Salbiah sebelum melangkah masuk ke dalam kereta. Sebentar kemudian, Audi yang dipandu oleh menantu Puan Salbiah meluncur laju meninggalkan bengkel abangnya. 

Biarpun kereta Audi tadi sudah hilang dari pandangan matanya tetapi Ayuni tetap melihat ke arah jalan. Satu saja yang dia terfikir, kalau Puan Salbiah ada anak lelaki, pasti anak lelakinya sangat handsome!

“Hah, berangan!” Sergah abangnya. 

Ayuni terkejut. Mujurlah dia bukan jenis orang melatah. 

“Abang ni... Dah tak sayang adik ke?” tegur Ayuni sambil mengurut dadanya. Mujurlah dia tiada penyakit lemah jantung.  

“Mana adik kenal?” tanya Afiq dari tadi dia mahu bertanya soalan itu.  

“Entah. Tiba-tiba saja dia telefon adik suruh baiki tayar kereta dia. Katanya anak dia yang bagi nombor telefon adik tapi adik tak ada pun kawan yang ada mak bernama Puan Salbiah,” jawab Ayuni menggaru kepala.

“Entah-entah bakal ibu mertua kut…”

“Hisy, adik kenallah mak Rasydan tu. Takkanlah mak dia tiba-tiba bertukar jadi Puan Salbiah. Eh, silap Datin Salbiah.”

“Mana tahukan…”

“Dah. Jangan nak mengarut.”

“Rasydan apa khabar?” tanya Afiq. 

Ayuni mengeluh panjang. Bila abangnya sudah mula bertanya tentang Rasydan, itu bukan satu petanda yang baik. Dia pun serta-merta boleh dapat stres. Ini tidak lain dan tidak bukan mesti ingin bertanya tentang berita persiapan perkahwinan mereka. 

“Abang ni... sepatutnya tanya dulu adik ni sihat ke tak, dah makan ke belum...” ujar Ayuni cuba mengelak menjawab soalan itu. 

“Hah, mula nak mengelak la tu...”

Bijak sungguh abangnya ini. 

“Kalau ikut perancangan, lagi lapan bulan kamu akan berkahwin tapi kenapa sampai sekarang abang tak ada dengar apa-apa persiapan pun daripada kamu berdua? Jadi ke tak jadi ni? Jangan kata Rasydan minta tangguh lagi...” abangnya mula membebel. 

“Jadilah. Abang janganlah risau. Minggu depan kita orang baru akan mula beli barang persiapan.”

“Mmm... baguslah. Ingatkan tak jadi lagi.”

“Ehem... abang, hari ni Kak Suri masak apa?” Ayuni cepat-cepat mahu tukar topik. Dia pun tidak tahu kenapa. Bila tengok muka abangnya, mesti akan teringatkan kakak iparnya, Kak Suri yang pandai memasak. Waktu itu perutnya pun mula berkeroncong. 

“Nak tahu?” 

Ayuni mengangguk laju-laju. 

“Tolong abang tukarkan minyak hitam untuk kereta tu dulu. Sekejap lagi tuan dia nak ambik,” ujar Afiq seraya menunjuk ke arah sebuah kereta Wira di hadapan pintu masuk bengkel. 

“Cis, ambil kesempatan betul! Nasib baiklah Kak Suri tu pandai memasak, kalau tak jangan harap adik nak tolong!” 

“Kalau macam tu adik patut cari lelaki yang pandai memasak. Pergi suruh Rasydan tu masuk kelas memasak.”

What? Suruh Rasydan masuk kelas memasak? Mati hidup semula pun Rasydan takkan buat macam tu. Rasydan tu egonya tinggi melangit. Sedangkan tukar tayar kereta pun dia tak reti, inikan hendak suruh dia belajar memasak. 

Tapi sentuh pasal bab memasak ni, dia teringatkan seseorang. Seseorang yang berjaya puaskan perutnya...

“Apa hal tersengih-sengih tu?” Tegur Afiq. 

Ayuni tersentak. Mengelamun rupanya dia. Teruk sudah penyakit gila bayangnya. Kalau terbayangkan Rasydan tak mengapalah juga tapi terbayangkan lelaki yang langsung tak pernah tahu kewujudannya. Bahaya sungguh!

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Suamiku Workaholic [Bab 12]

Awal-awal pagi lagi aku dan suamiku sudah berangkat ke KLIA dengan menaiki teksi. Sebelum berangkat sempat lagi aku menghubungi ibu dan ayah untuk memaklumkan pemergian kami ke Langkawi. Sengaja aku beritahu mereka sebab tidak mahu mereka tiba-tiba datang terjah rumah. Walaupun mereka tak pernah buat lagi tapi aku ada perasaan yang mereka akan buat suatu hari nanti. Lagipun, walaupun mereka beria-ia sangat suruh aku berkahwin dengan Syazwan tapi mereka sebenarnya risaukan perkahwinan kami. Maklumlah aku kahwin dengan Syazwan pun secara terpaksa sebab bakal pengantin melarikan diri. Mereka pun sudah sedia maklum dengan Syazwan yang workaholic.

Suamiku Workaholic [Bab 16]

Bila aku terjaga, aku mendapati aku berada di bilik yang asing. Bukan itu saja, tangan aku dicucuk oleh saluran air yang datangnya dari sebuah beg air yang biasa aku tengok di hospital. Aku cuba kerahkan tenaga yang ada untuk bangun. Pening-pening lalat kepala aku seketika. Aku memerhati keadaan sekeliling. Aku berada di hospitalkah? Tapi kenapa katil aku macam tak nampak katil hospital? Luas pula tu, cukup untuk dua orang tidur. Di sekeliling aku pun sama. Ada sebuah almari dan di sudut lain, ada set sofa. Macam bukan di hospital tapi di hotel.

Suamiku Workaholic [Bab 1]

Ibu kata, Syazwan paling tak suka dengan orang yang lambat datang janji temu. Jadi, awal-awal lagi aku sudah datang ke tempat janji temu. Masa tu, cafe yang menjadi tempat pertemuan kami itu baru sahaja buka. Lama juga aku duduk menunggu maklumlah aku datang setengah jam lebih awal. Tepat pukul 10.00 pagi, Syazwan datang tepat pada masanya. Padanlah dia sudah jadi seorang yang berjaya dan bekerjaya. Dia datang dengan baju kot (ah, cair!). Nampak segak dan bergaya. Serius aku sudah jatuh hati. Datang-datang saja, dia terus renung aku dari atas hingga bawah. Berdetak juga jantung aku tiap kali matanya scan setiap inci tubuh aku. Macam mata Superman yang boleh tengok dalaman tubuh orang pula. Setelah dia berpuas hati, barulah dia duduk dan membuat pesanan kepada pelayan cafe itu. Kemudian, dia keluarkan tab miliknya dan senyap.